Bijak berikhtiar ke arah kecemerlangan

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Ra’du ayat 11 yang maksudnya;

“Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali mengubah nasib (sikap) seseorang sehinggalah dia sendiri yang berusaha mengubahnya “.

Kejayaan seseorang biasanya diukur daripada pencapaian cemerlang samada dalam pelajaran, dalam berkerjaya, dalam berkeluarga dan dalam bermasyarakat. Kakitangan yang berjaya bererti kakitangan yang tidak bermasalah dan akan memberikan sinar kejayaan kepada Syarikat. Kejayaan yang pertama biasanya akan disusuli pula dengan kejayaan yang kedua dan ketiga. Kejayaan yang kecil pula biasanya diikuti pula dengan kejayaan yang besar. Kejayaan yang besar pula biasanya akan disusuli dengan kejayaan yang lebih besar.

Bagaimanapun kegagalan dalam satu-satu pencapaian bukanlah titik akhir dalam dunia kecemerlangan. Jalan yang perlu dilalui masih jauh dan sepanjang jalan tersebut sentiasa ada ruang dan peluang yang boleh diperbaiki bagi menebus kegagalan lampau. Umpamanya kakitangan yang ada masalah disiplin tidak bererti dia sudah gagal dalam kerjayanya. Dia masih boleh memperbaiki sikapnya dan yakin kepada cita-citanya.  

Nilai kejayaan di dalam Islam bukanlah diukur dengan timbunan kekayaan, pangkat dan kuasa semata-mata. Ini kerana berapa ramai orang yang memiliki kekayaan, pangkat dan kuasa dengan cara yang tidak betul dan menggunakannya pula dengan cara yang tidak jujur. Berapa ramai orang yang mencapai taraf jutawan tetapi hasil daripada penipuan dan pemerasan daripada orang lain. Kejayaan juga bukan diukur semata-mata daripada kelulusan akademik semata-mata sedangkan dalam masa yang sama mereka gagal menggunakan ilmu yang diperolehinya itu untuk kebaikan masyarakat yang memerlukannya.Kesemuanya itu melambangkan kejayaan yang sempit.

Sebenarnya tidak salah untuk kita bercita-cita besar untuk menjadi orang berilmu dan memiliki kejayaan. Dan tidak salah juga bagi kita untuk mimpikan kuasa dan pangkat yang tinggi, memiliki rangkaian perniagaan yang terbesar dan berpengaruh serta disegani oleh masyarakat. Tetapi jangan kita lupa bahawa ianya mesti bermula daripada sikap dalaman kita dahulu untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik. Kejayaan biasanya bermula daripada impian, harapan dan cita-cita. Terlalu sedikit mereka yang memperolehi kejayaan kerana semata-mata bernasib baik, berdasarkan keturunan dan kedudukan.

Bagaimanapun kita tidak menafikan terdapat mereka yang boleh dikatakan berjaya mencapai kemewahan kerana mereka adalah kroni dan proksi pihak yang berkuasa dan pihak yang berpengaruh. Dalam hal ini kita tidak perlu bimbang atau sakit hati.Biarlah kejayaan yang bakal kita perolehi berdasarkan keupayaan dan kekuatan yang ada pada diri kita sendiri. Tanamkan harapan, impian dan cita-cita untuk mencapai kejayaan yang boleh kita banggakan. Orang yang tidak mempunyai cita-cita hanya akan berpuas hati dengan apa yang ada, menunggu rezeki datang bergolek dan tidak pernah mengetahui kemampuan dirinya yang sebenar. Kalau kita tidak mempunyai cita-cita mungkin kita hanya menjadi pencukup bilangan sahaja atau lebih parah daripada itu kita mungkin menjadi beban kepada ahli keluarga , masyarakat dan tempat kerja kita . Manusia tanpa cita-cita bukanlah manusia yang hebat dan tidak mampu untuk menghadapi tekanan-tekanan yang hebat. Bagaimanapun untuk menyempurnakan cita-cita dan harapan agar menjadi kenyataan bukanlah satu perkara yang mudah. Semua orang boleh bermimpi yang indah-indah namun kadangkala ianya sukar untuk dicapai. Tirai kehidupan biasanya membataskan kejayaan antara seseorang insan dengan insan yang lain berdasarkan pelbagai kombinasi faktor antaranya perbezaan sikap, kemahiran, sokongan luar, persekitaran, peluang dan masa yang tepat. Setiap kita harus memiliki cita-cita meningkatkan taraf hidup kita.

Oleh itu untuk menterjemahkan cita-cita dan impian sebagai satu kejayaan maka kita harus menilai diri sendiri, melihat kekuatan dan kelemahan dan mahu pula untuk melakukan perubahan sikap agar apa yang ada pada hari ini akan menjadi lebih baik untuk hari esok. Kalau dahulu kita ada masalah disiplin maka perubahan sikap harus dilakukan untuk menjadi kita yang lebih berdisiplin. Kalau dahulu kita hanya mempunyai sijil SPM atau STPM sahaja maka sekarang tanamlah cita-cita dan buatlah perubahan untuk memiliki segulung diploma atau ijazah dengan mengikuti kelas-kelas separuh masa.

Oleh itu marilah kita untuk membuat perubahan sikap kerana untuk berjaya kita perlu bersikap seperti orang yang telah berjaya. Perubahan sikap merupakan kunci kepada kejayaan. Jika pada malam hari kita bermimpikan kejayaan maka pada paginya kita harus bertindak dengan sikap yang mampu menjelmakan mimpi tersebut agar menjadi realiti. Tiada siapa yang boleh mengubah sikap kita melainkan diri kita sendiri. Ianya sukar tetapi tidak mustahil untuk dilakukan.

Mudah-mudahan penyertaan kita di dalam program ini menjadi pencetus perubahan kepada kita semua ke arah meningkatkan pengetahuan dan pendapatan di dunia perniagaan ICT selaras perkembangan semasa . Ingatlah jadikan diri kita orang yang bijak berikhtiar dalam menguruskan masa depan ke arah kecemerlangan. Peluang perniagaan adalah salah satu cara meningkatkan taraf hidup selaras dengan hadis nabi yang membawa maksud 9/10 rezeki adalah daripada dunia perniagaan .

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: